Assalamualaikum teman-teman pembaca yang budiman.
Saya mahu kongsikan Bab 1: bahagian 1, novel Senduk Mengetuk Pena Menari.
Selamat menikmati :)
Tiga bulan sebelum itu. (Sebelum prolog)
Edrina memandang tajam kepada Johan manakala Johan membalasnya dengan wajah dingin beruang eskimo. Hatinya berkata, 'Wah, matanya memandang ke lengan aku. Mari aku buat sesuatu supaya hati kamu tambah sebal.'
Kening Edrina perlahan-lahan berkerut dan wajahnya menunjukkan rasa jengkel. 'Eh, bukan dia tak tahu yang aku meluat tengok tatu dia tu. Sanggup pula dia singing lengan baju sebelah lagi.' Dia menarik nafas beberapa kali lalu berkata lagi, 'Ed, bawa banyak-banyak bersabar dan bertawakal bagi menghadapi umat Muhammad yang kurang bertamadun ini!'
Kalau tadi wajah Johan sangat bersahabat dengan mahkluk Tuhan di Kutub Utara, kali ini dia mengubah kepada gaya sengihan Joker apabila mahu memperdayakan Batman. 'Pasti darah kamu sekarang sedang tersirap. Entah-entah kamu sekarang sedang menahan diri supaya tidak pitam.'
Gigi Edrina bergetap-getap menahan marah sedangkan kakinya berundur sampai punggungnya berlaga dengan meja kerja Johan. Tangannya bergerak-gerak dan berhenti apabila menyentuh sebuah buku. Dia mengangkatnya lalu melihat sekilas.
Mata Johan terbuntang sedangkan tekaknya hampir tersedak. 'Itu buku resepi Laluan Sutera, kulit keras. Eh, ditimang-timang pula, siap tersenyum meleret pula dia. Apa dia nak buat dengan beraksi macam gadis kurang akal begitu? Jangan-jangan dia mahu jahanamkan buku itu.'
Dengan pantas Johan menaikkan tapak tangan dan berkata, “Jangan yang itu, tolonglah....”
Edrina menaikkan kening seakan-akan berkata, kamu mahu tahu nasib buku ini?
Tanpa menunggu Edrina menukar senyum meleret kepada sengihan kemenangan, Johan meluru ke meja kerja Edrina. Matanya melingas memandang permukaan meja. "Hah, manuskrip ini tentu ada gunanya. Eh, banyaknya tanda merah-merah. Kalau tak pandai menulis, janganlah membuang masa editor, hanya menyusahkan umat manusia. Tapi bagus juga, padan dengan muka dia."
Kaki Edrina hampir-hampir meluru ke arah Johan namun dia pegun tiba-tiba. Matanya terbeliak dan hatinya hampir menjerit, 'Matilah aku kalau aku perlu buat semula editing tu.'
Kening Johan dinaikkan sebelah. "Mari aku kitai-kitai helaian manuskrip itu secara sembrono. untung-untung kamu dapat terkena histeria lalu dinasihatkan supaya bercuti tiga empat bulan. Senanglah jiwa raga aku."
Edrina meletakkan tangan ke dada. 'Sabar, kamu tak perlu menjerit umpama perempuan yang kurang adab....'
Namun Edrina akhirnya benar-benar menjerit apabila Johan mengubah kelakuan tadi kepada gaya menyental stoking berdaki, ke atas helaian-helaian menuskripnya.
Berpadanan dengan jeritan itu, tangannya bingkas melontar buku resepi kulit keras itu ke kepala Johan. Sepantas itu juga Johan mengelak sehingga dia hampir terbongkang. Mujur tangannya sempat mencengkam hujung meja sedangkan manusktip tadi tercampak ke lantai.
Johan menarik nafas lega.
“Johan!”
Johan terkejut hingga pegangannya terlepas lalu dia terduduk bagai nangka busuk gugur ke tanah.
Bruk!
Edrina pantas meluru bagi mengambil manuskrip di sisi Johan. Dia berkata dengan perlahan namun ada nada kejam samseng Kampung Dusun, "Kalau tidak kerana Tuan Megat sedang terpacak di pintu pejabat, tentu aku sudah libas wajah kamu dengan naskah ini."
Anak mata Johan memaku di wajah Edrina lalu berkata dengan nada yang dapat menyakitkan hati dua hari dua malam, "Jangan jawab. Jangan jawab."
Tuan Megat melangkah berlahan sambil matanya merayau ke serata ruang.
"Mesin kira tu ada sayap ya, sampai dapat terbang ke kaki sofa?
Mata Edrina turut memandang ke situ sambil dia berdiri dengan sedikit cemas.
Mata Tuan Megat merayap lagi. "Telefon dalam tong sampah. Marker pen di celah pokok."
Perlahan-lahan Johan bangun.
Tuan Megat mendekati kerusi di hujung ruangan. Dia memandang kepada Edrina. "Ini kerusi siapa?"
Kening Edrina mengerut sedikit. "Tentulah kerusi saya." Dagunya diangkat sedikit lalu berkata lagi, "Itu, kerusi tuan dan kerusi chef, ada."
Tangan Tuan Megat mencengkam kepala kerusi. "Sampai terlempar sejauh 0.7 meter, kamu berdua main perang-perang? Siapa yang jadi Red Indian dan siapa yang jadi orang putih?"
Pantas Edrina memusingkan tubuh sedangkan mulutnya menahan tawa. "0.7 meter? Hai, handal betul majikan aku ini menganggarkan jarak. Betullah konon-kononnya tu."
Kerusi itu disorong kepada Edrina lalu disambut oleh wanita itu dengan sedikit gaya canggung.
Mata tuan itu merayap lagi lalu mata hitamnya behenti di kaki meja. "Buku resepi saya pun menjadi mangsa juga?"
Dengan pantas Johan mengutipnya dan memegangnya dengan kejap.
Tuan Megat berjalan dengan perlahan namun langkahnya tegap. Dia duduk di sofa sambil memandang kepada Edrina. Dia memandang pula kepada Johan sambil kepalanya seakan-akan mahu menggeleng tidak percaya dengan keadaan ruangan yang huru hara ini. Dia berkata, “Siapa dulu mahu bercakap?”
Edrina menjeling Johan dengan wajah 100 peratus geram.
Johan pura-pura tak nampak sekaligus buat-buat tak kisah lalu pergi ke meja kerjanya dan duduk. 'Mari kita membuat lagak tanpa salah, baik aku baca status di facebook."
Edrina menarik nafas. 'Nampaknya aku juga yang perlu memberi menjelaskan mengapa kami memperlakukan pejabat Restoran Bawang Putih ini umpama baru dihempas ribut taufan.'
Perlahan-lahan Edrina bergerak ke sofa di hadapan Tuan Megat, lalu dia duduk. 'Cemasnya hati aku, macam nak ditemuduga pula.'
Tuan Megat berdehem.
Edrina seperti terjaga. Tiga detik kemudian dia berkata, “Johan mahu tukar resepi... saya tak suka.”
Tuan Megat memanjangkan leher kepada Edrina dengan dahinya yang berkerut ala wajah ibu tiri Lela Manja. Kalaulah di sebelahnya ada rotan, mungkin kala itu juga betis Edrina sudah perit dilibas rotan. Tuan Megat bertanya, “Itu saja?”
Edrina membuang wajah ke lantai dan tidak menjawab.
“Beginikah cara orang dewasa menyelesaikan masalah? Tukang cuci periuk kita yang sedang tunggu keputusan STAM tu pun takkan buat perangai macam kamu berdua.”
Johan mengangkat wajah dan bertanya perlahan, “STAM? Apa tu? Apa yang susah benar. Mari kita tanya Encik Google.” Beberapa saat kemudian dia mengangguk perlahan dengan sedikit cebikan, “Oh... Sijil Tinggi Agama Malaysia.”
Seorang pelayan restoran terjengol di pintu pejabat dengan wajah setengah takut, “Tuan....”
Semua orang dalam pejabat itu memandang ke arah pintu.
Edrina bangun seraya bertanya, “Ada apa Suri? Ada inspektor kesihatan datang periksa dapur?”
Suri menuding tak tentu arah dan berkata tergagap-gagap, “Ada kepala... kelapa... di depan pintu....”
Edrina mengerutkan kening. Tanpa mengulangi pertanyaannya apatah lagi menunggu Suri bertutur dengan betul, dia bergegas keluar. Tuan Megat dan Johan mengekor dengan langkah tergesa-gesa.
Dua lelaki ini tiba di hadapan pintu restoran. Johan berkata, "Alamak semua pelanggan kita berkumpul di hadapan pintu."
Beberapa orang saling berbisik-bisik. Edrina menekup mulut sambil berpaling kepada Tuan Megat.
Seorang ibu terpaksa menutup mata anaknya lalu berkata kepada suaminya, "Mari kita pulang."
Tuan Megat dan Johan menyelit dan berdiri paling hadapan. Tangan Tuan Megat pantas mencengkam lengan Johan. "Siapa pula yang letakkan kepala kucing berdarah ni? Betul-betul kejam."
Mata Johan melirik majikannya.
Tuan Megat melepaskan cengkamannya seraya bertinggung perlahan-lahan dan memerhatikan kepala kucing itu dengan lebih dekat. "Tolong bersihkan tempat ini."
Johan berpaling dan bergegas masuk. Dia berjalan pantas ke tandas sambil mengeluarkan telefon dari poket seluar lalu mendail satu nombor. Dia menutup pintu tandas dengan rasa sebal.
Dia menunggu seketika panggilan bersambung, lalu,
“Hoi baghal! Kan aku dah cakap. Beri aku sedikit masa untuk fikirkannya.”
Bersambung.