Wednesday, October 27, 2010

Alhamdulillah, pembaca suka dengan Semanis Tart Ceri.

Ramai yang bertanyakan tentang sambungan novel ini.
Saya sedang mengumpulkan bahannya. Mohon doa pembaca semua supaya
Allah mempermudahkan usaha penulisan saya ini.

Alhamdulillah.
Semanis Tart Ceri diulang cetak!

Wednesday, September 29, 2010

Karya Terbaharu


Ini karya terbaharu saya yang bakal menyusul....

Ini kisah Puteri Alissa yang begitu meminati tudung bermanik sehingga membuat orang di sekeliling menjadi rimas. Mana tidaknya, mahu memberikan makan anak itik sahaja pun mahu memakai tudung dan selendang yang sarat dengan manik-manik dan berkilau-kilau.
Tetapi ada satu peristiwa yang membuatkan Tengku Alissa serik....

Tuhanku Maha Baik.

Allahu Akbar.
Saya berharap dapat bekerja di Johor supaya
dapat lebih dekat dengan keluarga. Alhamdulillah, Tuhan
memperkenankan permintaan saya, bukan hanya itu, saya juga
diberikan kerja yang saya suka. Terima kasih Tuhan.

Friday, July 30, 2010

Semanis Tart Ceri



Alhamdulillah, 2 novel baharu saya bakal terbit, insyaAllah.






Iman Selina, pengurus jelita merangkap chef.

Norli Sara si pelayan yang bercita-cita ke universiti.

Rehana si penjaga kaunter yang terpelajar.

Zizi si pelayan yang muncul di kafe bak Chipsmore.

Khairul si pelayan penuh muslihat.

Namun, keceriaan mereka bertukar menjadi 'mimpi ngeri' dengan kehadiran putera bak 'model iklan syampu' berwajah dingin yang merampas takhta pengurus di Kafe Ceri.

Bagi Hakim Aiman, arahan bekerja di Kafe Ceri adalah paksaan yang tidak dapat dielakkan.
Mampukah Kafe Ceri berjalan lancar dengan adanya pengurus baharu itu?

Gila-gila PSP




Sinopsis:

Fendy mahu beli PSP tetapi wang tabungnya tidak cukup. Tidak mengapa, dia sanggup bekerja sebagai pengasuh sambilan.


Pengasuh sambilan? Hai, menjaga adik sendiri pun malas, bolehkah menjaga anak orang lain? Sangkanya menjaga adik orang lain lebih mudah.


Semua cabaran dan kesusahan ditempuhi dengan sabar dan penuh semangat waja demi sebuah PSP!

Thursday, May 13, 2010

Iraq vs Palestin


“ Ya Syakira, kami ini orang Arab. Dari tanah Arab.
Kami tahu hal yang sebenarnya terjadi.”, jelas Ameerah.

Aku menarik nafas dan menghela perlahan.



Ameerah ialah sahabat yang aku kenal di bumi
UIA ini pada bulan Ramadhan tahun lepas.
Ada beberapa peristiwa menjurus kepada
perkenalan kami di masjid. Dia merupakan
pelajar Master dalam jurusan Undang-undang.

Pagi tadi usai kelas Political Science,
aku terus pulang ke Mahallah Saffiyah.
Cadangnya nak baca Ulum Quran.
Esok ada mid term. Berselisih dengan
Ameera si pipi merah bermata biru.
Salam dihulur. Pipi bertemu.

“I miss you, ukhti.
Sudah lama tak berjumpa”, katanya kepadaku.
Aku tersenyum membalas.

Lantas kutanyakan kepadanya.

“Sekarang inikan minggu memperingati Al-Quds,
Filastin? Kamu tak sertai mereka buka booth?”

“Ooh..saya ada juga dengar tentangnya.”
Jawabnya dengan muka bersahaja.
Aku jadi hairan melihat reaksinya itu.
Sepatutnya dia perlu bersemangat kerana
bukankah Palestin adalah negaranya yang perlu dilindungi?
Lalu kutanyakan lagi.

“Kamu bukankah orang Palestin?”

“Tidak ya ukhti. Ana min Iraq”

Masya Allah.. Aku jadi terlupa bahawa
Ameerah sebenarnya berasal dari Baghdad.
Ini mesti aku telah tercampur aduk dengan Sameer,
Na’il dan David yang dari Palestin itu.
Benar. Ameerah berasal dari Baghad.
Lantas cerita-cerita lama tentangnya bermain di fikiranku.
Tentang ibunya yang sudah tua tinggal keseorangan di sana.
Yang tinggal hanya dia dan adik perempuannya sahaja.
Ayah dan saudara-saudara lelakinya telah terbunuh.

“Isu di Iraq lebih besar, Syakira. Lebih besar daripada isu Palestin”

Aku terdiam. Membesarkan mata tanda perlukan penjelasan.

“Puak-puak Syiah membunuh kami orang-orang Sunnah.
Mereka bukan membunuh secara biasa,
tetapi mereka menyeksa kami dengan seksaan yang dahsyat.
Mereka mencungkil mata kami,
menggerudi tubuh kami sehingga kami mati.”

Aku beristighfar. Aku keliru. Apakah Syiah ini Muslim?

Semasa semester satu tahun lepas,
Syiah ialah tajuk assignment yang aku pilih
untuk subjek Introduction to Fiqh.
Mungkin 5 buah buku rujukan yang
aku baca masih tidak mencukupi untuk aku memahami situasi sebenar.
Aku maklum dengan firqah mereka.
Zaidiyyah, Ismailiah, Fatimiyah dan lain-lain lagi,
serta 12 imam mereka. Aku maklum dengan
ajaran-ajaran mereka yang aneh-aneh lagi gharib itu.
Rupanya apa yang aku maklum itu hanyalah
makluman yang secebis cuma.
Rupanya apa yang aku maklum itu hanya serba berdikit sahaja.

“Tidak. Mereka bukan Muslim.
Asalnya mereka adalah agama dari Parsi”
jawab Ameerah menghilangkan kegusaranku.

“Di hadapan kamu, mereka mengaku
mereka Muslim, tetapi pada hakikatnya,
mereka ingin menghancurkan Islam.
Mereka ingin menghancurkan Al-Quran.
Mereka ingin menghancurkan Sunnah.
Mereka menolak Nabi Muhammad Sallahu alaihi wa Sallam”,
sambungnya lagi dengan penuh semangat.

Aku mendengar penuh teliti.

“Mereka menutup isu ini daripada pengetahuan umum.
Dahulunya banyak puak Sunni yang tinggal di Iraq.
Tetapi sekarang sudah semakin berkurang kerana
mereka membunuh kami setiap hari.
Cuba kamu bayangkan kami berjiran dengan Syiah,
lalu mereka masuk ke dalam rumah kami
dan menyeksa kami sebelum membunuh.
Kanak-kanak, orang tua dan semua orang-orang Sunni.
Sehinggakan kami sangat takut
untuk mengaku kami ini Sunni di hadapan mereka.
Hatta sekarang kemudahan air puak Sunni
sedang dipotong oleh mereka.”

“Mereka kata Saddam Hussein itu zalim.
Sedangkan hak-hak mereka telah Saddam penuhi.
Dia memberi kemudahan dan kedudukan kepada mereka.
Tapi akhirnya mereka mendakwa
Saddam tidak memberikan mereka hak apa pun.
Saddam berpemikiran tentera.
Walaupun dia tidak begitu Islamic
tetapi dia tetap golongan Sunni.”

“Ramai orang tak tahu, Syakira.”

“Apabila keadaaan sudah jadi begini,
tiada siapakah yang datang membantu
kamu, Ameerah?”, tanyaku.

Perbualan kami menjadi semakin panjang.
Campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab
melancarkan perpincangan.
Berbincang di tengah panas mentari pagi
pada jam 1015 di hadapan pondok pengawal Mahallah Saffiyyah,
tidaklah sepanas hati Ameerah menceritakan
segala kekejaman Syiah kepadaku.

“Tiada siapa datang membantu.
Ini semua hanya permainan politik.
Mereka Syiah bekerjasama dengan US.
Malah Tanah Arab di sekitarnya turut
berkerjasama dengan US.
Mereka tidak bisa berkata apa-apa”,
jawabnya sambil tersenyum.

Senyumannya yang kurasakan hanya untuk
menyembunyikan perasaannya sebenar.
Kagum. Aku kagum melihat dia
yang masih mampu tersenyum.
Jika aku di tempatnya mungkin sudah basah
kain kerudungku menyapu air mata.
Apatah lagi mengenang ibunya yang
keseorangan di Baghdad.

“Di Palestin situasinya berbeza.
Mereka mendapat simpati dari seluruh dunia.
Kerajaan Arab di sekitar datang membantu mereka.
Orang-orang Yahudi membunuh hanya
segolongan daripada mereka sahaja.
Golongan mujahidin yang mempertahankan
Al-Aqsa sahaja dibunuh, serta ahli keluarga
mereka yang terlibat dihalau dari tanah mereka.
Sesetengahnya tidak dibunuh tapi hanya dihalau.
Sekiranya dibunuh, mereka akan dibunuh
dengan senang menggunakan senapang
dengan tembakan sahaja. Tetapi kami?
Mereka menyeksa, mencungkil biji mata
kami hidup-hidup.
Seksaan Yahudi itu lebih ringan jika
dibandingkan dengan apa yang Syiah lakukan.
Apa yang Yahudi mahukan hanyalah tanah
Palestin dan tapak Haikal di Al-Aqsa”, terangnya.

Aku perhatikan betul-betul butir bicaranya.

“Tetapi situasi kami di Iraq sangat-sangat genting.
Mereka membunuh SEMUA orang Sunni.
Mereka mahu menghapuskan Sunni dari tanah Iraq.
Ketahuilah Syakira, apabila mereka sudah
selesai di Iraq, mereka pasti akan
beralih ke negeri lain pula.”

“Jadi saya ingin tanyakan kepada kamu, Syakira.
Yang mana satu perkara yang lebih berbahaya
antara dua keadaan ini?
Palestin atau keselamatan Islam dan Sunni di Iraq?
Ya Syakira, kamu foreigners. Mungkin kamu tidak tahu.
Kami ini orang Arab. Dari tanah Arab.
Kami tahu hal yang sebenarnya terjadi.”, jelas Ameera.

“Jika kamu tanyakan kepada orang Palestin
bagaimana kehidupan mereka sekarang,
mereka pasti akan mejawab, “kami hidup dengan tenang”..”

Dalam perkara ini mungkin ada benarnya juga.
Aku sudahpun singgah di booth Palestin dan
bertanya keadaan Palestin sekarang.
Mereka menjawab 50% 50%.

Sambung Ameerah lagi. “ gambar-gambar kekejaman
yang mereka tunjuk itu adalah gambar-gambar lama.
Lihatlah pada tarikhnya. Sekarang ianya sudah tiada lagi.
Saya hairan dengan orang Palestin yang
mempromosikan hal ini. Mereka kata mereka bersedih.
Tetapi jika ditanya, adakah mereka berjuang
menentang Yahudi? Mereka menjawab tidak.
Akan tetapi, jika kamu tanya mereka tentang Iraq,
mereka tidak tahu. Cuba kamu tanyakan mereka
tentang gambar-gambar kekejaman
yang berlaku sekarang. Mereka tidak ada.”
Terangnya panjang lebar.

Sekali lagi mungkin ada benarnya juga
kata-kata Ameerah ini. Aku pernah bersembang
dengan beberapa brothers Palestin.
Aku tanyakan adakah mereka berperang dengan Yahudi?
Mereka katakan tidak. Mereka punyai
anggota mujahidin tersendiri.
Entah lah. Aku pun tak pasti.

Aku teringin benar mahu melihat
gambar-gambar kekejaman Syiah di Iraq.
Walaupun akau tahu aku tidak sanggup,
mungkin menjeling sikit-sikit boleh lah.

“Saya ada gambarnya dalam laptop saya.
Suatu hari nanti saya akan tunjukkan pada kamu.
Syakira, apa yang saya ceritakan ini bukannya
mahu menagih simpati atau belas kasihan orang ramai.
Tetapi saya berharap benar agar orang ramai akan
tahu situasi yang menggugat Islam sedang berlaku.”,
ujarnya mengakhiri kalam.

Masa berlalu tak kusedari. Sudah sejam kami berdiri berbual.
Ameerah terpaksa mengundur diri kerana
sudah berjanji dengan rakannya untuk
berbincang subjek Malaysian Civil Law di library.
Kalau diikutkan mahu sahaja aku memanjangkan bicara.
Mungkin lain kali kami berjumpa lagi, apatah
lagi aku sudah berjanji untuk ke biliknya
dalam minggu ini untuk melihat gambar.

Huhu. Tersilap maklumat pula aku khabarkan
pada Ameerah bahawa pada hari Sabtu ini,23 Ogos,
ada seminar Syiah dan Khawarij di Taman Sri Ukay.
Rupa-rupanya tersilap tarikh. Seminar itu pada
20 September nanti.
Ini mesti aku dah terpening dengan
pengumuman Abg Syarief semalam ketika
di penghujung kuliyyah Ustaz Fadlan,
yang menyebut banyak sangat program.

Kesimpulannya...

Anda simpul lah sendiri. Aku terkedu dan
terharu mendengar cerita ini. Tidak tahu
apa yang harus dikatakan melainkan berdoa
agar mereka dilindungi oleh Allah SWT.
Kedua-dua isu Iraq dan Palestin tak boleh diketepikan.
Prioriti?

Kita yang berada jauh daripada kedua-dua
mereka patut menyokong apa-apa perjuangan
mereka menyelamatkan Islam. Dalam hal ini,
Ameerah mungkin berasa negaranya
disisihkan daripada pengetahuan umum,
jadi dia terasa sedikit dengan orang Palestin..

Really nice to meet her.

Wallahu a’lamu bis sowaab..

Sunday, February 21, 2010

Ini adalah catatan seorang sahabat sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji
Alhamdulillah Allah telah mengundang beliau menghadiri perhimpunan besar ini pada tahun 2009.



Suraya (selepas mengalami kemalangan di bengkel kereta),

Pergilah umrah, pergilah haji
Kalau kes sebegini biasanya tidak sempat ke hospital pun.



Itulah kata doktor yang merawatku
Alhamdulillah aku masih hidup
Di laporan kesihatanku tertera


Cerebral concussion with post traumatic amnesia (hentakan di kepala dengan hilang ingatan sementara)
Closed fracture right acetabulum (hip joint) (patah tulang pinggul kanan)
Closed fracture left acetabulum (patah tulang pinggul kiri)
Closed fracture right radius (patah pergelangan tangan kanan)
Closed fracture right clavicle (patah tulang selangka kanan)
Traumatic right tympanic membrane perforation (gegendang telinga kanan pecah)


Teringat aku insiden di Lapangan Terbang Subang
Ketika itu KLIA belum ada lagi
Kita pergi haji waktu muda ye
Persetujuan aku dengan adik perempuanku
ketika seorang pakcik yang sudah berusia
baru pulang dari tanah suci
melintasi kami diruang menunggu



Aku tersenarai sebagai calon menunggu (standby)
Untuk mengerjakan haji bagi tahun 2009
Alhamdulillah aku telah kembali ke tanah air
Setelah menunaikan haji


Pengalaman di Tanah Suci

Madinah Munawarah
Di kala ku rasa keseorangan di dataran masjid
Seorang Makcik Turki mengenggam erat tanganku
Dan memimpinku menuju ke pintu masuk wanita Masjid Nabawi

Di kala ku rasa hangat panas demam di malam hari
Teman sebilikku lap badanku dengan penuh kasih sayang

Makkah
Di kala ku rasa teringin sekali beribadah di MasjidMu
Sedang aku terbaring di hotel kerana keletihan akibat batuk dan selsema yang berpanjangan
Kau beri aku kemudahan ku gagahi dan terus ke Masjidil Haram


Arafah
Kau makbulkan doaku untuk menziarahi orang sakit di tanah suci
Kau datangkan kepadaku seorang makcik yang baru keluar hospital
Untuk aku jaga dengan penuh kasih sayang di khemah Padang Arafah

Kau menjawab pertanyaan ketika munajatku
Selepas Khutbah Arafah
Tak sangka secepat itu jawapan daripada Mu


Mina

Di kala ku rasa letih dan lapar selepas melontar jamrah
Kau datangkan kepadaku seorang lelaki Arab yang membawa kurma dan susu kepadaku

Ku teruskan perjalanan dan langkahku berhenti apabila lelaki Arab lain mempelawa aku ayam goreng arab ala KFC Malaysia
Di kala aku rasa tidak mampu meneruskan perjalanan, aku diberi tempat rehat bersama-sama jemaah haji dari Thailand
Aku teruskan perjalanan, aku nampak bendera Malaysia, terasa lain benar kedudukan khemah kali ini

Aku tersilap masuk ke khemah wanita arab
Aku ditemukan dengan seorang budak Arab yang ingin menolongku
Aku di bawa pulang dengan kenderaan yang dibawa oleh budak Arab lain yang tidak berputus asa mencari khemahku

Di kala ku rasa kesejukan malam dalam perjalanan
Kenderaan kami berhenti dan ada seseorang menghadiahkanku baju sejuk yang tebal dan harum baunya
Ku rasa sungguh selesa


Makkah Mukaramah

Sekembalinya dari Mina aku solat di lobi hotel
Selesai solat kudapati beg sandangku telah hilang
Salahku jua kerana tidak letak beg tersebut dihadapanku ketika solat
Aku kehilangan RM250, beberapa Riyal Arab Saudi dan 2 handphone


Hospital
Ketika di Arafah dan Mina, perutku tidak dapat menerima makanan yang disediakan
Badanku terasa lemah
Aku dijaga dengan penuh kasih sayang oleh kakak yang baru ku kenali
Aku dibawa ke Hospital Aziziah dari hotel dengan menaiki ambulan
Di sana ku dirawat dan dijaga dengan penuh kasih sayang
Di kala ku memerlukan teman kerana di wad semua pesakitnya berumur kecuali aku
Kau datangkan kepadaku teman sebaya menghiburkan hatiku

Malaysia
Di Makkah aku kehilangan 2 handphone yang termurah di pasaran
Di Malaysia ku dihadiahkan handphone yang ada camera, radio, tv, bluetooth, internet dan touch screen lagi
Di Makkah aku kehilangan RM250 dan beberapa Riyal Arab Saudi
Di Malaysia ketika aku nak mengeluarkan wang, mak dan ayahku menahan dan mereka menanggung keperluanku

SubhanAllah kasih sayang, pertolongan dan perlindunganMu dekat.............


Astaghfirullah, ku mohon keampunanMu di atas kealpaanku, hambaMu yang lemah..........

......................

Sahabat, doakan aku mendapat jemputan Allah tahun hadapan.
Doakan aku.

Monday, February 8, 2010

Hakim berkata kepada temannya, "Aku mempunyai seorang teman yang mahu memeluk Islam namun aku meminta dia berfikir masak-masak dahulu."

Umar menaikkan sebelah keningnya kemudian bertanya, "Bagaimana sekiranya dalam masa dia berfikir itu, dia mati dan tidak sempat mengucap. Siapa yang mahu bertanggungjawab?"

Hakim kehilangan kata-kata, hanya kelopak matanya sahaja yang terkebil-kebil.